[BM] MPL Malaysia Musim Ke-13 mencipta rekod baru pengunjung dan jumlah tontonan di minggu pembukaan yang amat mendebarkan!
2 April 2024

Lebih 1,200 orang peminat mengunjungi rumah baru MPL Malaysia di Stadium MBSJ Serdang Jaya untuk menyaksikan perlawanan pembukaan di antara pasukan HomeBois dan Selangor Red Giants – mencipta rekod kehadiran liga terbaik setakat ini.

Minggu permulaan membuka pintu kepada 3,500 orang peminat, rekod tertinggi sepanjang sejarah MPL Malaysia.

Minggu Pertama Regular Season menyaksikan Selangor Red Giants di tempat teratas kedudukan liga dengan 6 mata, diikuti oleh King Empire Esports dan Monster Vicious yang berkongsi 4 mata.

Gaya pemain Selangor Red Giants, Ilman "Gojes" Zulkifli, selepas menundukkan juara bertahan, HomeBois di perlawanan pembukaan MPL Malaysia Musim Ke-13 Regular Season

KUALA LUMPUR, 1 April Mobile Legends: Bang Bang Professional League (MPL) Malaysia membuktikan di minggu pembukaan Musim Ke-13 mengapa ianya liga esukan yang paling lama berlangsung di Malaysia, selain membuktikan tahap persaingan yang tinggi di antara pasukan dan populariti liga di kalangan peminat. Berlangsung pada hujung minggu lepas dari 29 hingga 31 Mac, Minggu Pertama Musim Ke-13 Regular Season menampilkan saingan yang mendebarkan dengan keputusan luar jangkaan di mana juara bertahan dari Musim Ke-12, HomeBois kalah 0-2 kepada pesaing utama musim ini, Selangor Red Giants. Selama 3 hari pertandingan, peminat disajikan dengan perlawanan yang sengit dan dramatik, dengan Selangor Red Giants mengakhiri minggu di tempat teratas kedudukan liga dengan 6 mata, diikuti oleh King Empire Esports dan Monster Vicious yang berkongsi 4 mata.

Rekod baru kehadiran pengunjung dan tontonan atas talian membuktikan perkembangan MPL Malaysia

Komuniti MPL Malaysia terus berkembang, dengan Musim Ke-13 mencetak rekod kehadiran pengunjung di stadium. Lebih 1,200 orang peminat membanjiri dan memenuhi kesemua ruang di rumah baru MPL Malaysia di Stadium MBSJ Serdang Jaya, untuk menyaksikan perlawanan pembukaan di antara HomeBois dan Selangor Red Giants. Arena MPL Malaysia juga merekodkan kehadiran seramai 3,500 orang penonton sepanjang 3-hari, rekod tertinggi dalam sejarah liga.

Ini merupakan perkembangan yang amat memberangsangkan bagi liga, di mana rekod ini tercipta walaupun perlawanan berlangsung semasa bulan Ramadan.

Minggu sempurna Selangor Red Giants dan King Empire Esports merajai persaingan

Selangor Red Giants memulakan langkah kanan kempen Musim Ke-13 mereka setelah meraih kemenangan berturut-turut di Minggu Pertama Regular Season, dengan menewaskan juara bertahan dari Musim Ke-12, HomeBois di perlawanan pembukaan pada Hari Pertama dan kemudiannya menundukkan bekas juara Musim Ke-10, Team HAQ di Hari 3. Pesaing utama itu mengatasi kedua-dua saingan dengan mudah, dengan Gold Laner baru mereka dari Filipina, John "Innocent" Vincent Banal, mendapat pujian dari komuniti dan diberikan Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan (MVP) bagi prestasi beliau semasa perlawanan menentang HomeBois. Beliau juga berjaya membuktikan dirinya sebagai sebuah pelaburan yang bijak bagi pasukan dan menjadi pelengkap Selangor Red Giants, yang sedang dalam misi untuk memburu kejuaraan MPL Malaysia pertama mereka.

Michael "Arcadia" Angelo Bocado,Jurulatih Selangor Red Giants, berkata: "Kami berasa amat baik ketika ini dan amat bersemangat untuk membuktikan yang kami adalah pesaing utama musim ini, dengan matlamat untuk memenangi kesemua perlawanan kami. Tetapi kami juga realistik dan berhati-hati dengan setiap langkah yang kami ambil."

King Empire Esports juga "lantang" mengumumkan kehadiran mereka di pentas MPL Malaysia, dengan kejayaan mendapat tempat kedua liga menerusi kemenangan 2-1 yang diraih di dua perlawanan mereka di Minggu Pertama. Kemenangan mereka hadir melalui comeback termasuklah kejayaan menundukkan pasukan pilihan, RSG Malaysia, dan memberikan mereka gelaran sebagai salah satu "pasukan kuda hitam" musim ini.

Tambahan itu, pendatang baru MPL Malaysia musim ini Monster Vicious, juga boleh berbangga dengan prestasi mereka di Minggu Pertama selepas berjaya menduduki tempat ke-3 kedudukan liga selepas meraih 4 mata yang sama dengan King Empire Esports, walaupun memiliki jumlah kemenangan yang lebih rendah. Pasukan yang diwakili 100% pemain tempatan itu telah berjaya mengatasi pasukan heavyweight RSG Malaysia di Hari 2, sebelum menundukkan rakan pendatang baru liga, Barracuda Esports di Hari 3.

Nota: Di Musim Ke-13, pasukan akan menerima satu mata bagi setiap permainan yang dimenangi, tanpa mengira keputusan akhir kemenangan atau kekalahan dalam satu perlawanan. Bagi pasukan yang berkongsi mata, kedudukan liga mereka akan ditentukan melalui jumlah mata keseluruhan - perbezaan bersih selepas tolakan diantara jumlah kemenangan dan kekalahan perlawanan. Sekiranya jumlah mata keseluruhan masih sama, kedudukan akan ditentukan menerusi rekod pertemuan head-to-head mereka.

Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran & Pembangunan Perniagaan di MOONTON Games, berkata: "Saingan liga pada musim ini amat sengit dan lebih kompetitif, dengan pengenalan pembaharuan format pada Musim Ke-13. Di musim ini, hanya enam pasukan dari Regular Season MPL Malaysia yang akan layak ke pusingan Playoffs berbanding dengan lapan pasukan di musim yang lepas. Selain itu, kami juga telah mengubah sistem mata di mana setiap kemenangan permainan akan mendapat satu mata - tidak kira keputusan selepas tamat perlawanan. Dengan taruhan yang amat tinggi, para pasukan mengetahui ruang untuk melalukan kesilapan semakin mengecil dan ini pastinya memberikan tekanan kepada mereka untuk memberikan prestasi yang mantap sepanjang musim, dan memastikan tahap bakat esukan ditingkatkan untuk membantu mereka memberi persaingan yang lebih sekiranya mereka mewakili Malaysia ke pentas antarabangsa."

Tiada ruang kesilapan di Minggu 2 yang semakin hangat

Para peminat semakin teruja menantikan pelbagai pertarungan hangat di Minggu Ke-2 Regular Season. Pelawanan pembukaan di antara NINERS dan RSG Malaysia dijangka akan membuka "luka lama" di antara jurulatih kedua-dua pasukan. Muhammad "antagonisst" Firmansyah Pratama dari NINERS dan Fikri "Rain" Aiman Bin Mohd Khidzir dari RSG Malaysia pernah bertemu beberapa kali di musim lepas, semasa mereka masing-masih pernah menjadi Juruanalis HomeBois dan Pembantu Jurulatih RSG Malaysia. Fokus peminat semestinya akan tertumpu pada interaksi pertama mereka musim ini, menerusi peranan baru mereka.

Seru Saturday juga menyaksikan Selangor Red Giants dan TODAK bertembung di perlawanan utama Minggu Ke-2. Tumpuan semestinya pada Muhammad "YumS" Suhairi yang telah berpindah dari TODAK ke Selangor Red Giants semasa luar musim, selepas kekecewaan yang dialami TODAK semasa kempen Musim Ke-12. Kapten pasukan Selangor Red Giants juga berseloroh menambahkan kehangatan dengan berkata: "TODAK takkan kemana tanpa saya."

Minggu Ke-2 MPL Malaysia Musim Ke-13 Regular Season akan menyaksikan 10 pasukan Malaysia teratas Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) meneruskan perjuangan mereka untuk mewakili negara di MLBB Mid Season Cup, yang menaruhkan hadiah lumayan berjumlah MYR14 juta (USD3 juta). Selain itu, para pasukan juga bersaing untuk merebut ganjaran sebanyak MYR468,000 (USD100,000) di MPL Malaysia Musim Ke-13.

Jadual penuh Minggu Ke-2 boleh dirujuk di bawah:

Sentiasa kekal pantas dengan berita terkini dan pelbagai aksi MPL Malaysia Musim Ke-13 dengan Hotlink. Rangkaian 5G Hotlink menawarkan latensi rangkaian tanpa tandingan dengan pelan berpatutan, untuk memberikan akses internet lebih meluas untuk menikmati pengalaman bermain MLBB yang terbaik. Para peminat juga boleh memenangi pelbagai barangan in-game eksklusif, dan barangan dengan hanya melawat booth Hotlink di stadium. Musim ini juga menampilkan kembali rakan-rakan strategik seperti ASUS Republic of Gamers (ROG) dan Nescafe.

Muat turun kit media MPL Malaysia Musim Ke-13, yang mengandungi gambar-gambar pemain, personaliti MPL, perlawanan, termasuk juga maklumat penting seperti jadual perlawanan dan platform siaran: https://drive.google.com/drive/folders/1F9Cgl5H1Rd00FpKs5UK2usM3BLjf_aKR

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai MPL Malaysia, sila ke Laman Web Rasmi dan ikuti liga di Facebook, TikTok, dan Instagram.