[BM] Tiada rekod sempurna untuk Selangor Red Giants di Regular Season, Playoffs MPL Malaysia Musim Ke-14 x Southern Festival menanti!
14 October 2024 | 1329 View


·         Juara bertahan, Selangor Red Giants menuju ke Playoffs sebagai juara musim liga namun mereka kehilangan rekod tanpa kalah selepas ditewaskan Monster Vicious pada minggu keenam Regular Season, diikuti Team Vamos berada di tempat kedua untuk turut sama mengambil tempat di pusingan Separuh Akhir Upper Bracket.

·         RSG MY diturunkan dari liga dan akan bertanding di musim ketiga bagi Liga Akademi MLBB (MAL MY); Team HAQ pula akan bertarung dengan pasukan di tempat kedua Challengers Conference MAL MY Musim Kedua, Young and Dangerous untuk slot ke MPL Malaysia Musim Ke-15.

·         Musim Ke-14 mencatatkan rekod baharu dalam sejarah liga bagi perlawanan dengan tontonan tertinggi di Regular Season iaitu sebanyak 262,061 Tontonan Serentak Puncak (PCV), 15% lebih tinggi dari musim lalu, menurut laporan Esports Charts.

·         Festival Selatan (Southern Festival) akan menyaksikan liga ini (playoffs) buat pertama kalinya dianjurkan di luar kawasan Lembah Klang selepas enam tahun, menawarkan peminat di Johor Bahru satu pengalaman tak dapat dilupakan dari 31 Oktober hingga 3 November ini.

·         Anthem baharu MPL Malaysia akan diperkenalkan pada 28 Oktober, menampilkan artis tempatan terkenal, XONE & Amir Masdi.



Playoffs Musim Ke-14 akan dianjurkan Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri, buat pertama kalinya dalam sejarah enam tahun penganjurannya di kawasan Lembah Klang sebelum ini.

 

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 14 Oktober Selangor Red Giants tumbang jua pada akhirnya sekali gus kehilangan rekod tanpa kalah mereka di Regular Season, tapi tetap menjadi pilihan peminat untuk menjuarai Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Juara bertahan ini akan menuju ke Playoffs Musim Ke-14 sebagai pasukan teratas (top seed) selepas menjuarai Regular Season dengan 24 mata. Pasukan di tempat kedua liga, Team Vamos mempunyai 18 mata namun bersama-sama SRG berjaya mengunci slot ke Separuh Akhir Upper Bracket sekali gus melonjak ke pusingan kedua Playoffs.

 

Tontonan MPL Malaysia meningkat dari musim ke musim

Pertembungan epik antara skuad pilihan, Selangor Red Giants dan Team Vamos mencatatkan rekod baharu tontonan di MPL Malaysia sebagai perlawanan yang paling banyak ditonton ketika Regular Season. Pertarungan mereka pada Minggu Keempat merekodkan sebanyak 262,061 Tontonan Serentak Puncak (PCV), menurut laporan Esports Charts. Pada musim lalu, rekod tontonan di Regular Season adalah 236,759 PCV yang dicapai oleh Homebois dan Team HAQ dalam perlawanan mereka pada Minggu Kedua Musim Ke-13. 

 



Kredit: Esports Charts

 

Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan MOONTON Games, berkata: "E-sukan MLBB sentiasa popular di Malaysia - angka tontonan di liga kami sentiasa menunjukkan peningkatan. Namun, kami masih jauh lagi dari mencapai potensi sepenuhnya. Kami terbukti sebagai liga e-sukan paling popular di negara ini tapi impian dan misi kami adalah menjadi yang paling popular dari aspek hiburan sukan di Malaysia dan kami makin mendekati sasaran tersebut,"

 

Viktor Proniakin, Pengurus Produk di Esports Charts, berkata: "Regular Season MPL Malaysia Musim            Ke-14 yang menampilkan pasukan terhebat di serata Malaysia berjaya mendapatkan lebih banyak perhatian tahun ini. Ia berjaya merekodkan pencapaian baharu bagi tontonan liga, dengan peningkatan 12.5% tontonan puncak berbanding musim ke-13. Tambahan lagi, jumlah jam tontonan juga bertambah sebanyak 20%, satu lagi rekod baharu dicapai. Ini adalah angka tertinggi bagi pentas Regular Season dalam sejarah MPL Malaysia, mencerminkan peningkatan populariti e-sukan MLBB di rantau ini,"

 



Kredit: Esports Charts

 

Viktor menambah: "Terutamanya Selangor Red Giants, pesaing yang kuat dalam liga ini juga mencatatkan rekod tontonan terbaik di pertandingan ini. Ia adalah satu momen berharga buat pasukan ini, menunjukkan bagaimana mereka berjaya memenangi hati peminat di musim ke-14,"

 



Kredit: Esports Charts

 

Rangkuman Minggu Keenam: Kekecewaan silih berganti

Nyata kekecewaan seperti menyelubungi segenap ruang MPL Arena pada minggu terakhir Regular Season. Perlawanan pembukaaan Minggu Keenam menyaksikan pasukan dengan keseluruhan pemain tempatan, Monster Vicious berjaya mengejutkan Sang Gergasi Merah dengan kemenangan 2-1 ke atas mereka. Ia sekali gus memecahkan rekod tanpa kalah dimiliki Selangor Red Giants. Prestasi luar biasa dipamerkan Jungler Muhammad Danish Fitri "Unii" Bin Razman seterusnya menukarkan arus perlawanan oleh MV selepas Gergasi merah tewas game pertama. Unii merekodkan dua pencapaian dalam perlawanan ini - Pemain Paling Bernilai (MVP) dan pemain pertama yang menggunakan hero baharu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Suyou, di MPL Malaysia.

 



NGAUMAN KEMENANGAN.. Unii bersorak selepas Monster Vicious bangkit untuk menewaskan Selangor Red Giants.

 

RSG MY meneruskan kejutan dengan mencuri satu mata penting dari Team Vamos dalam kekalahan 1-2 mereka dari pasukan di tempat kedua liga itu. Bintang Jungler Team Vamos, Muhammad Nazhan "Chibi" Mohd Nor, membawa pasukannya ke arah kemenangan; Chibi dengan seorang diri mendominasi di perlawanan ketiga yang amat penting selepas 10 minit dengan penggunaan hero Nolan, satu-satunya hero yang berjaya meraih level 15, empat level melebihi pemain RSG MY dengan level tertinggi.

 

Bukan itu sahaja, Team Vamos juga berjaya mengunci tempat kedua liga pada hari kedua tanpa perlu berbuat apa pun; kedua-dua pesaing terdekat iaitu RED Esports dan Monster Vicious masing-masing tewas dengan skor 0-2 di tangan TODAK dan JP NINERS sekali gus meletakkan Team Vamos secara automatik di tangga kedua ranking. Monster Vicious pastinya akan menyemak kembali persembahan mereka selepas mempamerkan prestasi tidak konsisten. Pasukan dengan kesemua pemain tempatan ini berjaya menewaskan kesemua pesaing di peringkat enam teratas namun tewas di tangan JP NINERS dan juga tiga pasukan tercorot di musim liga iaitu RSG MY, Team HAQ dan Homebois.

 

Di sudut lain, keinginan RSG MY untuk bangkit pada Minggu Keenam dihentikan oleh Homebois yang membenamkan mereka pada Hari Kedua sekali gus menurunkan mereka ke Liga Akademi MLBB Malaysia (MAL MY). RSG MY akan bermain di Challengers Conference Musim Ketiga di mana mereka akan menyasarkan untuk kembali ke MPL Malaysia.

 

Team HAQ juga tidak berapa menyerlah selepas tewas di tangan Selangor Red Giants pada Hari Ketiga dengan keputusan di tempat kesembilan liga. Mereka seterusnya akan bertembung dengan pasukan di tempat kedua Challengers Conference MAL MY, Young and Dangerous pada 27 Oktober ini pada jam 12:30 PM GMT+8, dengan slot MPL Malaysia Musim Ke-15 bakal jadi rebutan.

 

Sila lihat di bawah untuk kedudukan kumpulan selepas tamatnya Regular Season Musim Ke-14: