- Juara
Mid Season Cup (MSC) 2024 menewaskan Team Vamos 4-2 di Grand Finals MPL
Malaysia Musim Ke-14 sambil mencipta rekod tertinggi bagi jumlah penonton
dalam talian dan luar talian.
- Selangor
Red Giants dan Team Vamos layak ke Kejuaraan Dunia M6, kejohanan
berprestij di Mobile Legends: Bang Bang, menghimpunkan 23 pasukan dari 16
wilayah antarabangsa.
- Para
pemimpin negara turut hadir di Grand Final, termasuk Timbalan Perdana
Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato' Seri Dr.
Zahid bin Hamidi. Beliau menegaskan sokongan kerajaan terhadap industri
e-sukan dan menyuarakan harapan agar lebih banyak usaha dapat dilakukan
untuk terus memajukan industri ini.
JOHOR BAHRU, MALAYSIA, 4 November – Selangor Red Giants
menewaskan Team Vamos 4-2 semalam di peringkat Grand Finals Liga Profesional
Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim Ke-14, menjadi pasukan pertama
yang berjaya memenangi MPL Malaysia sebanyak dua kali berturut-turut. Pelakar sejarah
ini sebelum ini mencatatkan kemenangan pertama e-sukan Mobile Legends: Bang
Bang (MLBB) untuk Malaysia di persada antarabangsa pada Julai dengan menjuarai
MLBB Mid Season Cup (MSC) di Arab Saudi.
Selangor Red
Giants akan meneruskan sasaran mereka untuk Golden Road – kejayaan memenangi semua
acara e-sukan MLBB dalam tahun yang sama (MSC 2024, MPL Malaysia Musim Ke-14,
dan Kejuaraan Dunia M6) – di M6 yang akan memulakan pusingan Wild Card pada 21
November. Kedua-dua Selangor Red Giants dan Team Vamos layak ke Pentas Utama M6
yang akan berlangsung pada 28 November di mana mereka akan merebut hadiah wang
tunai terkumpul AS$1 juta.
Sila lihat jadual penuh M6
di sini: https://en.moonton.com/news/133.html
Pemimpin negara menyatakan sokongan terhadap
e-sukan menjelang M6
Dari kiri ke kanan: YB
Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan,
Pembangunan Usahawan, dan Koperasi Negeri Johor; YB Tan Sri Dato' Dr. HJ Azmi
bin Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri
Besar Johor; YAB Dato' Seri Dr. Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah; YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry
Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; YB Dato' Seri Ahmad Maslan, Timbalan
Menteri Kerja Raya; YB Dato' Sri Abdul Rahman bin Mohamad, Timbalan Menteri
Sumber Manusia.
Para pemimpin Malaysia
hadir di Grand Final sebagai tanda sokongan terhadap e-sukan. Dalam satu sidang
media eksklusif bersama wartawan, Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YAB Dato' Seri Dr.
Zahid bin Hamidi, menegaskan sokongan kerajaan terhadap industri e-sukan
dan menyuarakan harapan agar lebih banyak usaha dapat dilakukan untuk terus
memajukan industri ini.
Dato' Seri turut memuji
peruntukan Malaysia sebanyak RM20 juta dalam peruntukan Belanjawan Madani 2025
yang baru diumumkan untuk meningkatkan ekosistem e-sukan dan mendedahkan
"RM10 juta akan digunakan untuk membangunkan sebuah stadium khusus untuk e-sukan
manakala baki peruntukan akan digunakan untuk latihan dan aktiviti berkaitan
e-sukan yang lain,"
Beliau memuji rancangan
kerajaan Sarawak untuk membina stadium e-sukan sendiri, serta mengintegrasikan
Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke dalam sekolah menengah/maahad
hafiz di seluruh negeri. Ini termasuklah kursus bagi penciptaan kandungan, termasuk
laporan perlawanan. Beliau menekankan pentingnya pencipta kandungan, dengan
harapan bahawa "Di masa hadapan, pencipta kandungan akan menjadi kunci
kepada kejayaan yang lebih besar dalam industri ini,"
Tonton ucapan penuh YAB
Dato' Seri Dr. Zahid's di sini: https://www.icloud.com/photos/#016CrPbN1NO8XenxO4cNIdYcw
Para pemimpin Malaysia
bergambar bersama cosplayer watak-watak MLBB. Dari kiri ke kanan: YAB Dato'
Seri Dr. Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan
Desa dan Wilayah; YB Tan Sri Dato' Dr. HJ Azmi bin Rohani, Setiausaha Kerajaan
Johor; YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam
Adli juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Selangor Red Giants dan
Pasukan Vamos, dengan menyatakan kepada media dalam satu sidang media:
"Saya berharap kejayaan dalam MPL Malaysia ini akan membawa kesan positif
menuju ke M6, bukan hanya dari segi prestasi pasukan tetapi juga sokongan dari
keseluruhan peminat,"
Rekod penonton dan pengunjung berjaya
dipintas!
MPL Malaysia mencatatkan
rekod baharu bagi acara e-sukan di Malaysia dengan tontonan tertinggi sepanjang
zaman. Grand Finals musim ke-14 mencatatkan sebanyak 812,911 Penonton Serentak
Puncak (PCV), mengikut laporan platform analitik e-sukan, Esports Charts.
Photo credits: Esports Charts
PCV Musim Ke-14 berjaya
memintas rekod kebangsaan sebelum ini iaitu 610,943 PCV direkodkan di MPL Malaysia Musim Ke-13 dan
menunjukkan pertumbuhan yang konsisten bagi liga ini dari musim ke musim.
"Sejak berpisahnya
antara liga Malaysia dan Singapura, MPL Malaysia secara konsisten meningkatkan
standard, mencipta rekod penonton baru selama lapan musim berturut-turut.
Kehadiran yang luar biasa pada musim ini mengukuhkan lagi kedudukan MPL Malaysia
sebagai acara e-sukan terkemuka di rantau ini, menduduki tempat ketiga liga
yang paling banyak ditonton dalam siri MPL, hanya di belakang gergasi Indonesia
dan Filipina. Sokongan dan keterlibatan peminat yang tinggi pada Musim Ke-14
mencerminkan hubungan yang semakin erat antara jenama MPL dan komuniti e-sukan
Malaysia, menjadikannya penyumbang penting kepada landskap e-sukan serantau,”
kata Viktor
Proniakin, Pengurus Produk di Esports Charts.
MPL baru-baru ini menjadi siri acara e-sukan pertama yang melepasi 1
bilion jam waktu tontonan secara global, menurut Esports Charts.
Photo credits: Esports Charts
Grand Finals ini juga
mencatatkan jumlah pengunjung paling ramai dalam sejarah liga ini dengan lebih
15,000 peminat hadir ke Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Playoffs MPL Malaysia Musim Ke-14 adalah yang pertama dianjurkan di luar
kawasan Lembah Klang dalam sejarah enam tahun penganjurannya.
Fikri Rizal
Mahruddin, Ketua
Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan di MOONTON Games, berkata:
"Dengan tamatnya Musim Ke-14 sebagai MPL Malaysia yang paling berjaya
setakat ini, mata kini tertumpu ke Kejuaraan Dunia M6 tidak lama lagi bulan
ini. Acara yang terbesar dalam sejarah MLBB ini - gelaran kejuaraan siri M
masih lagi belum menjadi milik Malaysia. Di hadapan penyokong tempatan, wakil
negara kita akan menunjukkan kepada dunia tahap kehebatan e-sukan kita dan
membuktikan bahawa e-sukan Malaysia adalah #GreaterThanEver."
Pusingan Playoffs yang mendebarkan buat
Selangor Red Giants
Playoffs Musim Ke-14
menunjukkan Selangor Red Giants perlu melalui jalan yang berliku dan penuh
emosi - selepas memulakan perlawanan pertama dengan kekalahan 1-3 ke atas TODAK
di pusingan Separuh Akhir Upper Bracket. Juara bertahan ini terpaksa mengharungi
perjalanan di pertandingan ini menerusi Lower Bracket, menyedari hakikat yang
satu lagi kekalahan akan menyingkirkan mereka. Bagaimanapun, mereka berjaya
mempamerkan mentaliti Sang Juara sekali gus memenangi perlawanan ke atas RED
Esports 3-0 sebelum meraih tempat di Grand Finals dengan menyelesaikan misi
membalas dendam kepada TODAK di Finals Lower Bracket.
Pertarungan di puncak
menunjukkan Selangor Red Giants mengambil Game 1 dengan bergaya sambil
mempamerkan gaya permainan lebih tersusun. Team Vamos menaikkan tahap agresif
mereka di Game 2 untuk menewaskan Gergasi Merah di Game 2 bagi menyamakan
kedudukan. Bagaimanapun, pada Game 3 dan Game 4, ia menjadi milik juara
bertahan sepenuhnya, di mana Game 3 berlangsung hanya 10 minit, menjadikannya
yang terpantas pada Musim Ke-14. Dengan Selangor Red Giants berada di titik
perlawanan dalam pertembungan Best-of-Seven
(BO7) ini, Team Vamos bangkit dengan bergaya untuk mengambil Game 5 tapi
ditumbangkan secara sistematik oleh Sang Juara bertahan dalam Game 6 dengan draft yang memfokuskan kepada hero backline mereka.