- Playoffs
terbesar liga ini akan mengambil tempat di Kompleks Sukan Educity di
Iskandar Puteri, Johor dari 31 Oktober hingga 3 November ini, menawarkan
akses penuh secara percuma untuk pengunjung menikmati acara esukan dan
aktiviti Southern Festival (Festival Selatan) yang mesra keluarga.
- Enam
pasukan teratas Malaysia akan bertanding untuk gelaran juara, merebut
sebahagian besar dari AS$100,000 hadiah wang terkumpul dan dua slot
mewakili negara ke Kejuaraan Dunia M6 yang dihoskan di Malaysia tahun ini,
di hadapan ribuan penonton tempatan.
- Timbalan
Perdana Menteri Malaysia dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan akan
menghadiri Grand Final.
KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 28 Oktober, 2024 – Johor Bahru akan menemukan
juara baharu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) pada Ahad ini, (3 November)! Ia
dianjurkan bersama oleh MOONTON Games dan KPRJ Sports Sdn Bhd (KSSB), anak
syarikat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ), peringkat akhir
(playoffs) Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia ini akan diadakan di luar
kawasan Lembah Klang buat pertama kalinya dalam sejarah enam tahun
penubuhannya.
Pentas akhir liga premier
MLBB ini akan dianjurkan dari 31 Oktober hingga 3 November ini di Kompleks
Sukan Educity Indoor Arena di Iskandar Puteri di mana enam pasukan teratas akan
bertarung merebut sebahagian besar dari hadiah wang tunai terkumpul, AS$100,000.
Playoffs musim ini akan menjadi yang terbesar dalam sejarah liga ini.
Kebanggaan Negara Menanti!
Playoffs musim ini akan
meraikan semangat kebanggaan negara di mana dua pasukan tempatan – Grand
Finalis Musim Ke-14 – bakal mewakli Malaysia di Kejuaraan Dunia M6 di hadapan
ribuan penonton tempatan. Malaysia mengajurkan edisi keenam Siri M, sebuah kejohanan
antarabangsa berprestij MLBB dan salah satu acara e-sukan paling popular di
seluruh dunia, yang akan menyaksikan 23 pasukan dari lebih 16 wilayah bertanding merebut hadiah
wang tunai terkumpul AS$1 juta dari 21 November hingga 15 Disember ini (jadual penuh M6).
Playoffs Musim Ke-14 ini
adalah lanjutan daripada peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan Madani 2025 bagi
memperkukuh ekosistem esukan. Malah, Grand Finals musim ke-14 pada 3 November
akan dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan
Wilayah, YAB Dato' Seri Dr. Zahid bin Hamidi, dan Timbalan Menteri Belia dan
Sukan, YB Adam Adli bin Abd Halim.
Ketua Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan di
MOONTON Games, Fikri Rizal Mahruddin, berkata: "Malaysia
kini memasuki era baharu esukan dan ekosistem kita mempunyai peningkatan
momentum dari dulu. Pada Januari, kami melancarkan liga pembangunan MLBB, MAL
MY (Liga Akademi MLBB Malaysia), bagi memberikan pemain e-sukan satu platform yang
lebih tersusun untuk memasuki arena profesional esukan. Pada Julai, Selangor
Red Giants membawa pulang kemenangan pertama kita di kejohanan MLBB Malaysia di
peringkat antarabangsa dengan memenangi Mid Season Cup 2024 di Arab Saudi. Awal
bulan ini pula, kerajaan mengumumkan RM20 juta peruntukan bagi esukan dalam
Belanjawan Madani 2025. Playoffs Musim Ke-14 akan menjadi langkah penting
seterusnya bagi perkembangan esukan negara,"
KPRJ, melalui KSSB,
mengumumkan penganjuran acara esukan tahun ketiga berturut-turut, bertujuan
untuk memperkasakan lagi arena esukan tempatan dengan menjadi hos bersama bagi
Playoffs MPL MY Musim Ke-14 di Johor.
“Playoffs MPL MY Musim
Ke-14 bukan sahaja mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan utama,
tetapi juga mengukuhkan statusnya sebagai hab esukan terkemuka, mengakui nilai
besar yang dimiliki oleh industri esukan, sambil menjadikan Johor sebagai kuasa
dinamik untuk pertumbuhan ekonomi dan pelancongan,” kata Yang Berhormat Dato’ Lukman bin Abu Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif
KPRJ.
Dato’ Lukman menekankan
komitmen berterusan KPRJ dalam memajukan sukan di rantau ini, dengan
menyatakan, “Kami berdedikasi untuk mencipta peluang perniagaan baru dan
memperluaskan landskap esukan melalui inisiatif seumpama acara ini."
Festival Selatan: Pelbagai Aktiviti Mesra
Keluarga Menanti!
Playoffs Musim Ke-14 akan
menjadi yang paling hangat dan terbesar dalam sejarah liga ini. Selain menjadi
tempat beraksi bagi bakat-bakat terulung di Malaysia, Festival Selatan juga
akan memperkenalkan pelbagai aktiviti mesra keluarga, disediakan secara percuma
kepada peminat yang hadir.
Liga ini berkolaborasi
bersama Foodelicious bagi mengajurkan festival makanan yang
merangkumi lebih 100 gerai makanan di Padang Bola Kompleks Sukan Educity. Yang
lebih menarik, akan ada persembahan dari DJ tempatan, buskers, dan artis indie
selain aktiviti mesra keluarga seperti demo memasak secara langsung, bengkel
seni, pertandingan memasak, kelas penggubahan bunga dan open mic.
Fikri berkata: "Kami
percaya esukan adalah untuk semua. Inilah sebabnya kami memperbesarkan komponen
festival agar semua orang dapat menikmati masa terluang bersama keluarga, dan
kami juga menjadikan keseluruhan Playoffs x Festival Selatan dengan kemasukan
percuma. Acara ini adalah hasil kerja keras kami untuk peminat."
Anthem baharu MPL Malaysia, "Jaguh"
Dilancarkan
Pada semalam, (28
Oktober), liga ini juga melancarkan "Jaguh", sebuah anthem baharu MPL
Malaysia yang membintangi artis tempatan terkenal, XONE (disebut sebagai
So-En-Ee) dan Amir Masdi serta ramai personaliti esukan MLBB Malaysia seperti
pengulas MPL Malaysia dan juga ultras. Dipersembahan oleh Hotlink, anthem ini
kini tersedia di kesemua platform streaming termasuklah Spotify, Apple Music,
Youtube Music dan Amazon Music. "Jaguh" akan dipersembahkan secara
langsung untuk pertama kalinya oleh XONE dan Amir Masdi sebelum Grand Finals
pada 3 November.
Dengarkan lagu Jaguh di
sini: https://bfan.link/jaguh
Format, Bracket dan Jadual Playoffs Musim
Ke-14
Playoffs Musim Ke-14 akan
menggunakan format hybrid elimination.
Pasukan di kedudukan ketiga hingga keenam dari Regular Season akan bertarung
terlebih dahulu di pusingan Play-Ins, yang akan mengikuti format kalah mati (single-elimination) dan dimainkan dalam
perlawanan Best-Of-Five (BO5). Pemenang akan mara ke pusingan Separuh Akhir
Upper Bracket, bertemu pesaing hebat dari pasukan di tangga pertama dan kedua
Regular Season, Selangor Red Giants dan Team Vamos. Seterusnya, kesemua perlawanan
akan bertukar menjadi double-elimination
dan BO5, dengan Grand Finals akan dimainkan dalam perlawanan BO7.
TODAK akan membuka tirai
Playoffs ke atas Monster Vicious pada jam 4:00 PM GMT+8 pada 31 Oktober. TODAK
adalah juara MPL Malaysia sebanyak tiga kali namun dalam beberapa musim
kebelakangan ini diperkecilkan kerana dianggap tidak berada dalam prestasi terbaik
mereka. Semua mata tertumpu kepada veteran Gold Laner Muhammad
"CikuGais" Fuad, yang membuat kemunculan terbanyak untuk Malaysia di
Siri M sebanyak empat kali dari M1 hingga M4. Sebaliknya, pasukan dengan
kesemua pemain tempatan, Monster Vicious (MV) pastinya akan menyasarkan untuk
mendahului pesaing mereka ini dengan kemenangan 2-1 sebelum ini pada Minggu
Pertama di Regular Season. Konsisten adalah kuncinya di mana MV berjaya
menewaskan kesemua pesaing mereka di Regular Season kecuali JP NINERS dan juga
tewas lawan tiga pasukan tercorot, RSG MY, Team HAQ dan Homebois. Pemenang akan
lawan juara bertahan, Selangor Red Giants, pada 1 November, 4:00 PM GMT+8.
RED Esports pula akan
memberi cabaran kepada JP NINERS pada jam 8:00 PM GMT+8 dalam satu pertarungan
antara kedua pasukan dengan dua gaya permainan berbeza. RED Esports dikenali
dengan gaya permainan makro mereka yang lebih berdisiplin. Sebaliknya, JP NINERS
yang sentiasa dahagakan pertarungan dikenali dengan gaya permainan lebih
merusuh yang sentiasa meletakkan mereka dalam risiko. Ia akan menjadi
perlawanan yang sangat sengit di mana kawalan diri akan menjadi faktor penentu
antara kedua-duanya. Pemenang dari perlawanan ini seterusnya bakal melawan Team
Vamos pada hari keesokannya pada jam 8:00 PM GMT+8.
Sila lihat jadual di bawah
untuk bracket dan jadual Playoffs:
Hotlink sebagai Penyampai
Malaysia, bersedia mengoptimumkan sepenuhnya rangkaian liga untuk memberikan
pengalaman permainan terbaik untuk MLBB. Manfaatkan rangkaian 5G Hotlink untuk
mendapatkan kependaman rangkaian tiada tandingannya dan alami pengalaman
permainan yang lebih baik.
Musim ke-14 dianjurkan
bersama oleh MOONTON Games dan KPRJ Sports Sdn Bhd. ASUS Republic of Gamers
(ROG) dan JD Sports adalah Penaja Rasmi liga, dan Head & Shoulders adalah
Rakan Esukan. Liga ini juga mempunyai Rakan Strategik TNTCO, dan Majlis Sukan
Negeri Johor (MSNJ).