[BM] MPL Malaysia mencatatkan rekod tontonan baharu pada minggu pembukaan Musim Ke-14, Selangor Red Giants mengungguli carta kedudukan!
10 September 2024 | 250 View
  • Perlawanan pembukaan antara Selangor Red Giants dan Homebois mencatatkan rekod baru tontonan kemuncak, merefleksikan perkembangan berterusan bagi liga ini meskipun sudah direkodkan sebagai liga e-sukan paling lama dan paling popular.
  • Peminat menyaksikan salah satu perlawanan paling lama dicatatkan dalam sejarah MPL Malaysia - perlawanan antara penyandang juara MPL Malaysia, RSG Malaysia dan Team Haq, yang berlangsung selama 39 minit dan 33 saat.
  • Selepas Minggu 1 Musim ke-14 Regular Season, Selangor Red Giants mendahului carta kedudukan dengan 5 mata, diikuti Team Vamos dengan 3 mata, dan JP NINERS dengan 2 mata.

 


Pemain Selangor Red Giants, Gold Laner John "Innocent" Vincent Banal memegang piala MPL Malaysia

 

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 9 September – Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) mempamerkan keunggulannya sebagai peneraju liga e-sukan di Malaysia pada minggu lalu. Liga Profesional MLBB (MPL) Malaysia mencatatkan rekod tontonan baharu ketika minggu pembukaan Musim ke-14, yang berlangsung pada 7 dan 8 September.

 

MPL Malaysia disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Esports Integrated (ESI). Sebagai acara e-sukan perintis negara, MPL Malaysia menawarkan pemain berbakat MLBB laluan untuk mengejar cita-cita dalam e-sukan di peringkat antarabangsa. Ini termasuklah Kejohanan Dunia M6, acara perdana antarabangsa MLBB, yang akan dihoskan di Malaysia tahun ini dengan dua pasukan negara bakal mewakili.

 

Musim Baru, Rekod Tontonan Baru

Liga ini mencatatkan rekod baharu Regular Season bagi tontonan dalam talian pada perlawanan pembukaan antara Selangor Red Giants dan Homebois. Pertarungan antara juara musim lalu dan naib juara ini merekodkan 245,841 Tontonan Kemuncak (PCV), mengikut data dari Esports Charts, menewaskan rekod Regular Season musim lalu iaitu sebanyak 228,679 PCV dicatatkan pada perlawanan Homebois dan Team HAQ ketika Minggu 2 Musim ke-13. PCV tertinggi dicatatkan oleh MPL Malaysia adalah pada Grand Final musim lalu, juga antara Selangor Red Giants dan Homebois, iaitu sebanyak 631,186 PCV, mengikut data dari Esports Charts.

 

Fikri Rizal Mahruddin, Ketua Pemasaran dan Pembangunan Bisnes di MOONTON Games, berkata: "Liga ini menunjukkan perkembangan ketara sejak ditubuhkan pada 2017. Ketika itu, kami hanya mencatatkan 6,544 PCV. Hari ini, kami adalah kejohanan paling banyak ditonton di Malaysia. Kejayaan dari liga ini datang dari inovasi berterusan dan komitmen kami yang tidak ingin berada di zon selesa, serta usaha dan pelaburan dari pasukan kami dan rakan kongsi. Ini semua menyumbang kepada penghasilan sebuah liga yang kompetitif dan menghiburkan dinikmati oleh ratusan ribu penonton di seluruh Malaysia bagi setiap perlawanan,"

 


 

Selangor Red Giants bermula gagah, penampilan sulung Team Vamos

 


Selepas Minggu 1, Selangor Red Giants mendahului carta liga dengan 5 mata, diikuti Team Vamos dengan 3 mata, dan JP NINERS dengan 2 mata.

Minggu 1 Regular Season Musim ke-14 antara salah satu perlawanan paling kompetitif pernah direkodkan, dengan empat dari enam perlawanan mempunyai skor 2-1.

 

Selangor Red Giants menamatkan kemenangan berturut-turut pada Minggu 1 untuk mendahului ranking Regular Season dengan 5 mata. Sementara juara penyandang gah di atas, mereka pastinya sedikit terkesan kerana tewas satu game ke atas Homebois dalam rekod kemenangan 2-1 mereka. Homebois hadir dengan wajah baharu selepas kehilangan lima pemain yang berhijrah ke Team Vamos ketika di luar musim liga; hanya Mid-Laner Muhammad "Udil" Julian Ardiansyah yang kekal dari musim lalu. Udil memimpin Homebois sebagai atlet e-sukan termahal dari musim lalu yang mana perpindahannya dari pasukan Indonesia, Alter Ego Esports, berlaku pada bulan Januari dengan kos RM330,000.